Call : +609-7481512 | 1-800-88-6060
Email : waqaftunai [at] e-maik [dot] my
Website : waqaftunai.e-maik.my
WhatsApp : 013-7508363
twitter
 
instagram
 
youtube
 
flicker
 
soundcloud
 
wikipedia

LAWATAN KERJA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN (MAIK) KE MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (MAIWP)

Pada 22 Mac 2018, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengadakan satu lawatan kerja ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mempelajari pengurusan pembangunan projek dan hartanah wakaf yang telah dilaksanakan oleh pihak MAIWP.

Ahli rombongan MAIK yang diketuai oleh Yang Amat Berusaha Dr. Haji Nik Mohd Azlan Bin Abd Hadi, Timbalan Yang DiPertua MAIK, telah disambut baik oleh kakitangan MAIWP yang diketuai oleh Yang Amat Berusaha Encik Mohd Ajib Bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi MAIWP.

Dalam lawatan kerja ini, ahli rombongan berpeluang melihat pembangunan projek wakaf iaitu Menara Imarah Wakaf atau juga dikenali sebagai Menara Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang terletak di lot 168 dan 169 Jalan Perak Kuala Lumpur. Tanah seluas 1.21 ekar ini telah diwakafkan oleh Almarhum Ahmad Dawjee Dadhaboy yang terletak di lingkaran segitiga emas Kuala Lumpur dan dimanfaatkan dengan pembinaan bangunan setinggi 34 tingkat melalui kerjasama strategik antara MAIWP, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Diharap melalui lawatan ini, hubungan dua hala antara MAIK dan MAIWP akan terus terjalin dalam memacu pengurusan hartanah wakaf dibawah Majlis Agama Islam Negeri ke arah yang lebih progresif demi manfaat umat Islam seluruhnya.

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

OPERASI KUTIPAN SEWAAN TANAH WAKAF DAN BAITULMAL MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN (MAIK) BAGI TAHUN 2018

Unit Wakaf dan Baitulmal telah mengadakan operasi kutipan sewaan tanah di tapak lokasi bermula pada 20 Februari sehingga 15 Mac 2018 bagi 557 orang penyewa yang meliputi jajahan Kota Bharu dan Pasir Mas.

Persediaan awal bagi operasi ini telah dijalankan bermula pada awal bulan Februari dengan menghantar surat makluman kepada penyewa tanah, hebahan melalui khutbah jumaat di masjid-masjid berkaitan, serta pemasangan kain rentang operasi kutipan sewa di lokasi-lokasi yang terlibat. Antara lokasi yang terlibat dalam operasi ini adalah Kampung Bunga Mas Penambang, Kampung Siti Manis, Sungai Keladi, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kampung Kasa Pasir Mas, Kampung Pulau Pisang, Mukim Pulau Kundor dan Mukim Banggol.

Pembukaan Kaunter Bayaran Sewaan Tanah di tapak lokasi bukan sahaja untuk membuat pembayaran sewaan, malah ia dibuka untuk perkhidmatan semakan jumlah sewaan semasa, tunggakan sewaan, pengemaskinian profil, dan mendapatkan aduan daripada penyewa. Dalam operasi ini juga, lawatan dari rumah ke rumah turut diadakan bagi memantau keadaan semasa di tapak lokasi.

Pada masa yang sama, promosi waqaf tunai turut diadakan dan secara tidak langsung, promosi zakat turut dijalankan dengan penggunaan van zakat MAIK semasa operasi ini dijalanPihak MAIK sentiasa mengalu-alukan penyewa-penyewa berdaftar MAIK untuk hadir ke Kaunter Wakaf dan Baitulmal MAIK pada hari dan waktu bekerja untuk membuat pembayaran sewaan dan seterusnya menggalakkan masyarakat Negeri Kelantan untuk membuat sumbangan Waqaf Tunai MAIK.

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

MAJLIS PERASMIAN DAN MENANDATANGANI PERJANJIAN WAKAF MAIK MUAMALAT

Pada 29 Rabiulakhir 1439H bersamaan 17 Januari 2018, Yang Maha Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan, merangkap Tengku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Berangkat Mencemar Duli Ke Majlis Perasmian Dan Menandatangani Perjanjian Wakaf MAIK Muamalat yang diadakan di Dewan Bunga Emas Hotel Perdana Kota Bharu Kelantan. Yang Berhomat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz , Tengku Temenggong Kelantan turut hadir mengiringi Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan ke majlis ini.

Majlis perasmian ini dimulakan dengan ceramah ringkas berkaitan Wakaf Tunai yang disampaikan oleh AlFadhil Ustaz Mohd Hafiz Bin Haji Fauzi, Ketua Jabatan Dakwah, Wakaf dan Zakat, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB). Seterusnya, bacaan Al-Quran disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Khairul Azwar Bin Alias, bilal Masjid Negeri, Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Majlis menandatangani perjanjian Wakaf MAIK Muamalat ini adalah antara pihak Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang diwakili oleh Yang Amat Berusaha Dr. Haji Nik Mohd Azlan Bin Abd Hadi, Timbalan Yang DiPertua MAIK dan pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) yang diwakili oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif BMMB. Majlis ini disaksikan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan yang diiringi oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan dan Yang Berbahagia Tuan Haji PeerMohamed Ibramsha, Ketua Pegawai Operasi BMMB.

Dalam majlis ini, dana sebanyak RM625,300.00 telah berjaya dikumpul untuk disalurkan ke dana Wakaf MAIK Muamalat. Antara penyumbang terbesar adalah daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad sebanyak RM500,000.00, Bekas Ahli Perkisputra sebanyak RM52,000.00, Syarikat Goldland Capital Sdn Bhd sebanyak RM10,000.00 dan Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rushdan Mohd Yusoff sebanyak RM10,000.00. Antara lain yang turut menyumbang adalah Air Kelantan Sdn Bhd, Permodalan Kelantan Berhad, Suwaibal Haji Said, MSO Corporation Sdn Bhd, Pingat Harmoni Sdn Bhd, Hasmadi Textile, Kakitangan BMMB kawasan Timur dan Utara, Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Al-Quds Umrah Tours (M) Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) , Yang Mulia Tengku Azman Tuan Jaafar, Sari Securiforce Sdn Bhd, AZ Inivatif Sdn Bhd, Encik Muhammad Zaini Saumi, Pebadanan Bandar Baru Tunjung dan Wakaf Enterprise.

Pembangunan Projek pertama yang akan menggunakan dana Wakaf MAIK Muamalat adalah Pembangunan Projek Muallaf Centre yang terletak di Mukim Kok Keli Tumpat, sebagai pusat transit dakwah kepada saudara baru dengan kos pembinaan sebanyak RM369,632.40.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Bank Muamalat Malaysia Berhad, serta rakan strategik yang berada di bawah Association Of Islamic Banking Institutions Malaysia (AIBIM) yang terdiri daripada Bank Islam Malaysia Berhad, Maybank Islamic Berhad, Affin Islamic Bank Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad mengharapkan kerjasama Wakaf MAIK Muamalat ini akan dapat membudayakan amalan berwakaf, menjadi sumber kewangan untuk pembangunan aset wakaf sedia ada, mewujudkan aset-aset wakaf baru dalam pembangunan sektor pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan ekonomi khususnya bagi rakyat Kelantan.

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Halaman 2 dari 2

Hubungi Kami

Bilangan Pengunjung

Hari Ini
Semalam
Minggu Ini
Minggu Lepas
Bulan Ini
Bulan Lepas
Keseluruhan
397
702
2497
4663542
13560
20710
4669419