Call : +609-7481512 | 1-800-88-6060
Email : waqaftunai [at] e-maik [dot] my
Website : waqaftunai.e-maik.my
WhatsApp : 013-7508363
twitter
 
instagram
 
youtube
 
flicker
 
soundcloud
 
wikipedia

PENGENALAN WAKAF

SEJARAH WAKAFDEFINISI WAKAFDALILFATWAENAKMEN MAIK BIL 4/1994
SEJARAH WAKAF DI ZAMAN RASULULLAH S.A.W

Perintis amalan wakaf dalam Islam adalah dipraktikkan oleh Baginda Rasullullah S.A.W apabila Baginda membina masjid Quba' yang dibina di atas tanah yang diwakafkannya ketika penghijrahan Baginda dan para sahabat ke Madinah. Begitu juga dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah yang juga dibina dengan sumber wakaf. Amalan wakaf telah hidup subur dan diteruskan oleh para sahabat dan tabiin yang banyak mewakafkan harta untuk kepentingan dan pengembangan syiar Islam ketika itu. Ringkasnya semangat dan keyakinan masyarakat Arab ketika itu terhadap mekanisme wakaf dalam membantu membangunkan syiar Islam amat menggalakkan dan sesetengah kenyataan menyatakan bahawa telah menjadi tradisi masyarakat Arab akan mewakafkan 1/3 hartanya sebelum meninggal dunia.

SEJARAH PEWAKAF TERAWAL DI NEGERI KELANTAN BAWAH KAWALAN MAIK
  • Tengku Kaya Pahlawan telah mewakafkan tanah pada tahun 1921 bagi tujuan Wakaf Zurri iaitu dikhususkan manfaatnya 9/10 kepada ahli keluarga dan 1/10 untuk kebajikan sepertimana yang telah ditentukan oleh pewakaf dalam suratcara wakafnya.

  • Wakaf Sultan Mansor merupakan antara pewakaf terawal di Kelantan iaitu pada tahun 1899. Melalui suratcara wakafnya, Almarhum Sultan Mansor telah mewakafkan tanah bagi tujuan mengaji-ngaji dan menziarah makamnya setiap hari.

SEJARAH WAKAF TUNAI DI MAIK

Pelaksanaan Waqaf Tunai Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mendapat kelulusan dan Mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 9 Jun 2013 telah memutuskan:

“Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah di bolehkan dalam Islam. Dalam menguruskan wakaf tunai ini, pentadbiran MAIK hendaklah memastikan bahawa wang tunai yang diwakafkan itu digunakan untuk pembelian aset kekal. Ini disebabkan wang tunai secara fizikalnya tidak boleh dikekalkan dalam bentuk yang asal tetapi pengekalan ini masih boleh direalisasikan dengan menukarnya kepada harta lain yang bersifat kekal. Dengan itu, ia menepati konsep wakaf iaitu menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya”.

DEFINISI WAKAF

Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S.W.T.

DEFINISI WAKAF KHAS

Wakaf Khas bermaksud wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat tertentu umat islam mengikut hukum syarak seperti mewakafkan tanah untuk tujuan masjid, surau, sekolah agama, perkuburan islam dan lain-lain yang dikhususkan oleh pewakaf.

DEFINISI WAKAF TUNAI

Wakaf Tunai adalah wang tunai yang dikumpul di dalam satu tabung wakaf dan ditukarkan menjadi harta kekal yang mana manfaatnya digunakan untuk aktiviti kebajikan dan amal jariah.

DEFINISI SAHAM WAKAF

Saham wakaf ialah sumbangan wakaf yang diberikan dalam bentuk unit saham. Satu unit saham wakaf bernilai RM10.00 dan dikumpul di dalam satu tabung wakaf dan ditukarkan menjadi harta kekal yang mana manfaatnya digunakan untuk aktiviti kebajikan dan amal jariah.

  • Allah S.W.T telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepada-Nya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud;

    “Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah umpama sebiji benih yan tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (Kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (surah Al-Baqarah: ayat 261)

  • Rasulullah S.A.W sendiri amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sedekah jariah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud;

    “Apabila matinya seorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu SEDEKAH JARIAH, ILMU YANG DIMANFAATKANNYA dan ANAK YANG SOLEH yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya” (Hadis Riwayat Muslim).

    *Para Ulama menafsirkan Sabda Rasulullah S.A.W “Sedekah Jariah” sebagai wakaf, bukan wasiat memanfaatkan harta.

  • Imam Syafie berkata: “Aku mendapat tahu bahawa lapan puluh sahabat di kalangan Ansar telah melakukan sedekah Muhramat”. Al- Syafie RA menggunakan istilah sedekah muhramat untuk wakaf.

  • Para Ahli Fiqh dan Ulama berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf hingga ke akhirat dan sangat dituntut dalam Agama Islam. Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada pewakaf selagi harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan. Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala dengan demikian kedudukan harta wakaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah (diberi), diwarisi atau dipusakai.

        ***TEKAN SINI UNTUK MELIHAT DAN MUAT TURUN FATWA-FATWA
  • Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bilangan 3 Tahun 2018 yang bersidang pada 15 Zulhijjah 1439 Hijrah bersamaan 27 Ogos 2018 Masihi telah membincangkan berkaitan Fatwa Wakaf Tunai Sebagai Wakaf.

    Setelah membincangkan perkara ini mesyuarat bersetuju memfatwakan seperti berikut: 

    i. Wang tunai adalah dibenarkan untuk tujuan wakaf dan wang tersebut juga dianggap sebagai harta wakaf.

    ii. Nilai asal wang diwakafkan hendaklah sentiasa dipelihara sifat kekalnya.

    iii. Jumlah asal wang tunai yang diwakafkan hendaklah digunakan dan dikendalikan dalam instrumen patuh syariah yang boleh memelihara jumlah asalnya. Sebagai contoh disalurkan dalam pelaburan berisiko rendah seperti sukuk dan produk deposit

    iv. Pelaburan wakaf tunai hendaklah dikendalikan dan digunakan dalam aktiviti patuh syariah.

    v. Secara asasnya, perkembangan atau untung yang terhasil daripada wakaf tunai tidak dianggap sebagai harta wakaf. Namun pewakaf boleh menetapkan dari awal bahawa sebarang untung daripada wakaf tunai itu dikira sebagai sebahagian daripada wakaf. Jika ini disyaratkan, sebarang keuntungan daripada pelaburan wakaf hendaklah mematuhi syarat-syarat aset wakaf.

    vi. Hasil keuntungan wakaf tunai boleh digunakan untuk memberi sumbangan (derma) kepada penerima manfaat wakaf seperti pemberian biasiswa kepada pelajar dan bantuan kepada orang miskin.

    vii. Pewakaf boleh mensyaratkan kos pengurusan yang munasabah agar ditanggung sama ada oleh pewakaf, atau wang pokok wakaf ataupun daripada keuntungan wakaf tunai. Jika tiada sebarang syarat yang menentukan, kos pengurusan wakaf tunai akan diambil daripada hasil keuntungan atau perkembangan wakaf tunai tersebut.

  • Mesyuarat Jemaah Ulama MAIK BIL 1/2013 yang bersidang pada 9 Jun 2013 telah membincangkan berkenaan Wakaf Tunai. Mesyuarat telah memutuskan:

    “Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah di bolehkan dalam Islam. Dalam menguruskan wakaf tunai ini, pentadbiran MAIK hendaklah memastikan bahawa wang tunai yang diwakafkan itu digunakan untuk pembelian aset kekal. Ini disebabkan wang tunai secara fizikalnya tidak boleh dikekalkan dalam bentuk yang asal tetapi pengekalan ini masih boleh direalisasikan dengan menukarnya kepada harta lain yang bersifat kekal. Dengan itu, ia menepati konsep wakaf iaitu menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya”.

  • Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bersidang pada 30 April 2008 telah membincangkan hukum berkaitan pembangunan tanah wakaf di bawah Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK9). Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

    “Pihak Majlis Agama Islam Kelantan harus dan boleh menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina hotel wakaf di Lot 2136 Mukim Kemumin, Panji dengan syarat status tanah wakaf ini kekal sebagaimana kehendak pewakaf.”

  • Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bersidang pada 31 Julai 2005 telah membincangkan hukum wakaf bagi tanah “Hak Milik Terhad”. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

    i. Tanah-tanah wakaf yang diletakkan di bawah kenaziran atau kawalan Majlis adalah diiktiraf sebagai wakaf muabbad (kekal) sama ada tanah-tanah tersebut bertaraf ‘Hak Milik Kekal’ atau ‘Hak Milik Terhad’.

    ii. Tanah-tanah wakaf yang bertaraf ‘Hak Milik Terhad’ adalah terkecuali dari Akta Kanun Tanah Negara Tahun 1965 kerana ianya melibatkan Hukum Syara’ dan telah diberi kekecualian dalam Seksyen 4(2) akta berkenaan:

    "Kekecualian setakat mana yang diperuntukkan dengan nyata sebaliknya, tiada apa juga dalam akta ini boleh menyentuh peruntukan-(e) mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai wakaf atau baitulmal."

    iii. Mesyuarat juga menasihatkan Majlis untuk membuat pindaan kepada Enakmen Majlis Bil 4, Tahun 1994 Seksyen 61 hingga 66 berkaitan wakaf agar selaras dengan Akta Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan bahawa Kerajaan Negeri boleh memberi pemilikan tanah secara kekal jika pihak berkuasa negeri berpuas hati tanah itu digunakan untuk kepentingan awam seperti seksyen 76(a) Kanun Tanah Negara. Dengan itu semua tanah wakaf yang bertaraf ‘Hak Milik Terhad’ boleh bertukar menjadi ‘Hak Milik Kekal’ kerana wakaf itu sendiri adalah kepentingan awam.

  • Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bersidang pada 4 Julai 2004 telah membincangkan fatwa berkenaan Pembangunan di Tanah –Tanah Wakaf di bawah kawalan Majlis Agama. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

    i. Tanah-tanah wakaf khas di bawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan seperti tanah wakaf Al-marhum Tengku Kaya Pahlawan dan lain-lain, boleh dibangunkan dengan bangunan kerana tidak menghilangkan ain (harta benda) yang diwakaf. Walaubagaimanapun kehendak atau syarat pewakaf hendaklah dijaga dan dihormati kerana para fuqaha' menyebut syarat pewakaf adalah seumpama nas syara'.

    ii. Usaha pembangunan yang dilaksanakan di tanah-tanah wakaf khas itu hendaklah tidak menyebabkan hilang sifatnya sebagai harta wakaf atau manfaatnya, bahkan menambahkan lagi manfaatnya hasil dari pembangunan yang diusaha di atas tanah tersebut.

    iii. Pembangunan boleh dilakukan secara usahasama oleh pihak-pihak yang terlibat iaitu pemaju projek pembangunan dan nazir tanah wakaf khas yang menjaga kepentingan pewakaf dan mauquf alaih dengan syarat projek usahasama ini akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak.

    iv. Pihak yang membangun tanah tersebut tidak boleh diberi hak kekal ke atas bangunan. Mereka hanya berhak untuk mendapat pulangan balik modal pelaburan kerana pemberian milik akan menyebabkan hilang ain ke atas tanah wakaf dan bertentangan dengan hukum syara'.

    v. Pulangan pelaburan kepada pemaju di atas projek pembangunan di tanah-tanah wakaf khas ini boleh dilakukan sama ada :

    - Pemaju mendapatkan dahulu pulangan balik pelaburan, setelah selesai mendapat pulangan balik pelaburan, bangunan tadi dijadikan sepenuhnya sebagai harta wakaf dan segala pendapatan diurus mengikut apa yang dikehendaki oleh pewakaf.

    - Pihak yang bertanggungjawab mengurus harta wakaf tersebut boleh mengambil kos pengurusan secara berpatutan dan selebihnya diagih sebagaimana kehendak pewakaf.

  • Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bersidang pada 23 September 2001 telah membincangkan fatwa berkenaan Wakaf Al-Irshod. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

    i. Hukum Wakaf al-irshod adalah sah kerana harta milik kerajaan adalah untuk kepentingan umum dan seseorang pemerintah memeng berkuasa dalam bidang ini berdasarkan jawatannya.

    ii. Wakaf ini tidak boleh dibatalkan atau dipinda dari tujuan asal kepada tujuan lain.

    iii. Tidak wajib terikat dengan syarat yang dikenakan oleh pihak yang mewakafkan jika syarat itu berlawanan dengan maslahah kerana tujuan Wakaf Al-Irshod ialah untuk maslahah umum

  • Mesyuarat Jemaah Ulama MAIK BIL 1/2013 yang bersidang pada 9 Jun 2013 telah membincangkan berkenaan Wakaf Tunai. Mesyuarat telah memutuskan:

    “Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dalam Islam. Dalam menguruskan wakaf tunai ini, pentadbiran MAIK hendaklah memastikan bahawa wang tunai yang diwakafkan itu digunakan untuk pembelian aset kekal. Ini disebabkan wang tunai secara fizikalnya tidak boleh dikekalkan dalam bentuk yang asal tetapi pengekalan ini masih boleh direalisasikan dengan menukarnya kepada harta lain yang bersifat kekal. Dengan itu, ia menepati konsep wakaf iaitu menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya”.

Seksyen 61 Enakmen MAIK 1994 menyatakan bahawa:

“Walau apapun peruntukan yang berlawanan dengan mana-mana surat cara atau perisytiharaan, Majlis hendaklah menjadi pengawal tunggal kepada semua wakaf, sama ada wakaf am atau khas, semua nazar am dan semua amanah khairat untuk kepentingan Agama Islam dan orang-orang Islam, setakat mana harta itu terletak hak kepadanya atau yang terletak di dalam Negeri Kelantan”.

Hubungi Kami

Bilangan Pengunjung

Hari Ini
Semalam
Minggu Ini
Minggu Lepas
Bulan Ini
Bulan Lepas
Keseluruhan
183
492
2998
4678397
15248
15292
4686399