Call : +609-7481512
Email : waqaftunai [at] e-maik [dot] my
Website : waqaftunai.e-maik.my
WhatsApp : 013-9910126
twitter
 
instagram
 
youtube
 
flicker
 
soundcloud
 
wikipedia

 

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sentiasa berusaha untuk memberi pendedahan dan dakwah dalam meningkatkan kesedaran berkaitan “wakaf” kepada masyarakat.

Sehubungan dengan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dengan usahasama Yayasan Wakaf Malaysia akan menjayakan satu rancangan dokumentari berkaitan pembangunan wakaf di setiap Majlis Agama Islam Negeri. Sesi penggambaran ini telah dijalankan pada 22 dan 23 September 2018 oleh pihak penerbitan yang dilantik oleh pihak Astro iaitu Syarikat Nuflix Resources yang diketuai oleh Encik Zainal Abidin Arifin sebagai Managing Director dan penglibatan Pencetus Ummah Rahmat sebagai perantara rancangan bakal memberi tarikan rancangan ini.

Dalam sesi penggambaran ini, Puan Shakirah Binti Mohamad iaitu Pegawai Wakaf MAIK telah memberi input berkaitan pembangunan tanah wakaf MAIK secara keseluruhannya. Antara pembangunan tanah wakaf yang ditonjolkan dalam penggambaran ini adalah Pusat Agrotourism Kampung Banggol Kota Bharu (tanah wakaf berkeluasan 95 ekar yang dimanfaatkan sebagai ladang pertanian tembikai), bangunan wakaf di Jalan Kelochor Kota Bharu (sewaan kepada Butik Impian Kalbu dan Bengkel Jahitan dan Sulaman MAIK), serta Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra (tanah wakaf khas berkeluasan 12 ekar).

Semoga tayangan siri dokumentari berkaitan wakaf ini yang dijangka akan ditayangkan di saluran Astro Oasis pada bulan November 2018 bakal memberi impak positif khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman ibadah berwakaf dikalangan masyarakat.

 

“SAHAM AKHIRAT, BERWAKAFLAH WALAU SEDIKIT”

 

 

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) adalah badan pengawal utama hartanah wakaf di Negeri Kelantan. Unit Wakaf telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mengawal hartanah wakaf dibawah kawalan MAIK.

Hartanah wakaf bukan sahaja melibatkan tanah yang diwakafkan untuk tujuan masjid, kubur, pondok dan sekolah sahaja, malah ia melibatkan sewaan tanah, premis serta gudang wakaf yang mana hasil sewaannya dikembalikan semula kepada masyarakat melalui pelbagai program wakaf.

Unit Wakaf sentiasa menjalankan lawatan dan pemantauan secara berkala bagi memastikan harta-harta wakaf terjaga dan terkawal. Pada 8 September 2018, Puan Shakirah Bt Mohamad, Pegawai Wakaf MAIK bersama Puan Rohayu Bt Rozi, Penolong Pegawai Penilai MAIK dan Encik Mohd Zainuldin Bin Ab.Murad, Jurutera Kanan MAIK, telah membuat lawatan ke rumah-rumah wakaf di Jajahan Pasir Puteh dan Kota Bharu. Lawatan ini bertujuan untuk membuat pemantauan kerosakan, dan mendapatkan aduan penyewa.

Pihak MAIK sedaya upaya akan memastikan amanah yang diberikan oleh pewakaf akan sentiasa dijaga dan terpelihara mengikut hukum syarak. Semoga pewakaf, penyumbang wakaf dan mereka yang manghidupkan amalan wakaf ini mendapat rahmat dan ganjaran berterusan daripada Allah SWT.

 

“SAHAM AKHIRAT, BERWAKAFLAH WALAU SEDIKIT”

 

 

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Pada 5 September 2018, satu Majlis Penyerahan Wakaf Buku menerusi Program Wakaf Pendidikan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah diadakan di Sekolah Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu Kelantan.

Melalui program ini, sebanyak 288 buah buku terbitan MAIK akan diagihkan kepada sekolah-sekolah terpilih dan Sekolah Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu Kelantan telah terpilih sebagai sekolah pertama menerima Wakaf Buku MAIK.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berusaha Dr. Haji Nik Mohd Azlan Bin Abd. Hadi, Timbalan Yang DiPertua MAIK diiringi oleh Yang Berusaha Puan Shakirah Binti Mohamad, Pegawai Wakaf MAIK. Pihak MAIK telah menyerahkan 48 buah buku dengan 24 judul berbeza kepada Sekolah Maahad Muhammadi (Perempuan) yang diwakili oleh pengetuanya iaitu Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Mansor Bin Haji Daud.

Buku-buku yang diwakafkan ini dibeli menggunakan hasil daripada sewaan hartanah wakaf. Diharap buku-buku berkualiti terbitan MAIK ini menjadi sumber rujukan kepada pelajar-pelajar Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan.

Dalam majlis tersebut juga turut diadakan taklimat dan Kuiz Wakaf. Seramai 10 orang pelajar telah berjaya menjawab dan memenangi hadiah dalam Kuiz Wakaf yang diadakan.

Semoga warga Sekolah Maahad Muhammadi terus cemerlang dan terus memanfaatkan Wakaf Buku menerusi Program Wakaf Pendidikan MAIK.

“SAHAM AKHIRAT, BERWAKAFLAH WALAU SEDIKIT”

 

 

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sentiasa cakna dengan keperluan rakyat Negeri Kelantan dalam pelbagai aspek termasuklah dalam aspek kesihatan.

Pada 13 Ogos 2018, satu majlis penyerahan katil hospital dibawah Program Wakaf Kesihatan MAIK telah disampaikan kepada pesakit kanser hidung di Kampung Bakong Pasir Mas Kelantan. Penyerahan ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Puan Shakirah Binti Mohamad, Pegawai Wakaf MAIK mewakili Yang Amat Berusaha Timbalan Yang DiPertua MAIK. Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu, memberi manfaat serta keselesaan kepada pesakit.

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sentiasa bergerak aktif dalam menyampaikan maklumat dan kesedaran kepada masyarakat berkaitan pengurusan wakaf dibawah kawalan MAIK.

Pada 8 Ogos 2018, satu Taklimat Kesedaran Wakaf dan Wakaf Tunai MAIK telah diadakan di Dewan Sri Nilam, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu yang disampaikan oleh Puan Shakirah Binti Mohamad, Pegawai Wakaf MAIK.

Kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu memberi kerjasama yang baik dan turut memberi sumbangan yang sangat menggalakkan melalui Kaunter Waqaf Tunai yang dibuka sepanjang sesi taklimat.

Semoga dengan sumbangan yang diberikan akan diberkati dan diberi ganjaran pahala yang berpanjangan oleh Allah s.w.t.

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) adalah pengawal tunggal yang menguruskan hartanah wakaf di Negeri Kelantan sebagaimana Seksyen 61 Enakmen MAIK bil 4/1994. Sehubungan dengan itu, MAIK sentiasa komited dan proaktif dalam pengurusan hartanah wakaf kearah yang lebih dinamik dan progresif.

Pada 11 Jun 2018, pihak MAIK bersama UDA Waqf Sdn Bhd telah membuat lawatan ke tapak tanah wakaf yang berpotensi untuk cadangan pembangunan di sekitar Jajahan Kota Bharu dan Tumpat. Melalui lawatan ini, ia memberi gambaran sebenar suasana persekitaran tapak sekaligus memberi inspirasi cadangan pembangunan yang bakal diusul. Sesi perbincangan turut diadakan antara MAIK dan UDA Waqf Sdn Bhd yang dipengerusikan oleh YABrs Dr. Haji Nik Mohd Azlan Bin Abd Hadi, Timbalan Yang diPertua MAIK. Antara yang turut hadir adalah Setiausaha MAIK, Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Pegawai Pengurusan Projek MAIK, Pegawai Wakaf MAIK, Penolong Pegawai Tanah MAIK, Arkitek, dan UDA Land Wilayah Timur.

Pihak MAIK sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin melaksanakan wakaf dan mengimarahkan pembangunan wakaf mengikut hukum syarak. Semoga Allah s.w.t merahmati dan memberi ganjaran pahala berpanjangan kepada pewakaf serta mereka yang bekerja menggerakkan wakaf.

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Majlis Penyampaian Agihan Manfaat Wakaf Kepada Masjid-Masjid Terpilih di Negeri Kelantan telah diadakan pada 7 Jun 2018 bersamaan 22 Ramadhan 1439H bertempat di Tingkat 2 Dewan Tazkirah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Nik Jessim Bin Nik Hashim mewakili Yang Amat Berusaha Timbalan Yang DiPertua MAIK yang diiringi oleh AlFadhil Ustaz Murtadha Bin Abdullah, Ketua Pegawai Agama MAIK dan Puan Shakirah Binti Mohamad, Pegawai Wakaf MAIK.

Sumbangan hasil manfaat wakaf sebanyak RM109,000.00 telah disalurkan kepada 33 buah Masjid Mukim terpilih menerima RM3,000.00, manakala 2 buah masjid iaitu Masjid Ismaili Tumpat dan Masjid Mukim Bunut Payong Kota Bharu menerima RM5,000.00 sebagai penerima tetap hasil manfaat wakaf.

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sentiasa komited dalam menggalas tanggungjawab sebagai Pengawal Tunggal bagi harta-harta wakaf di Negeri Kelantan sebagaimana Seksyen 61 Enakmen MAIK bil 4/1994, selaras dengan visi MAIK untuk menjadikan sebuah organisasi pengurusan wang zakat dan pengurusan harta baitulmal dan wakaf yang terunggul di Malaysia.

Didoakan semoga Allah SWT merahmati semua pewakaf, keluarga, sahabat, serta mereka yang membantu kerja-kerja wakaf dikurniakan ganjaran pahala berkekalan hendakNya.

“SAHAM AKHIRAT, BERWAKAFLAH WALAU SEDIKIT”

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Pada 22 Mac 2018, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengadakan satu lawatan kerja ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mempelajari pengurusan pembangunan projek dan hartanah wakaf yang telah dilaksanakan oleh pihak MAIWP.

Ahli rombongan MAIK yang diketuai oleh Yang Amat Berusaha Dr. Haji Nik Mohd Azlan Bin Abd Hadi, Timbalan Yang DiPertua MAIK, telah disambut baik oleh kakitangan MAIWP yang diketuai oleh Yang Amat Berusaha Encik Mohd Ajib Bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi MAIWP.

Dalam lawatan kerja ini, ahli rombongan berpeluang melihat pembangunan projek wakaf iaitu Menara Imarah Wakaf atau juga dikenali sebagai Menara Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang terletak di lot 168 dan 169 Jalan Perak Kuala Lumpur. Tanah seluas 1.21 ekar ini telah diwakafkan oleh Almarhum Ahmad Dawjee Dadhaboy yang terletak di lingkaran segitiga emas Kuala Lumpur dan dimanfaatkan dengan pembinaan bangunan setinggi 34 tingkat melalui kerjasama strategik antara MAIWP, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Diharap melalui lawatan ini, hubungan dua hala antara MAIK dan MAIWP akan terus terjalin dalam memacu pengurusan hartanah wakaf dibawah Majlis Agama Islam Negeri ke arah yang lebih progresif demi manfaat umat Islam seluruhnya.

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Unit Wakaf dan Baitulmal telah mengadakan operasi kutipan sewaan tanah di tapak lokasi bermula pada 20 Februari sehingga 15 Mac 2018 bagi 557 orang penyewa yang meliputi jajahan Kota Bharu dan Pasir Mas.

Persediaan awal bagi operasi ini telah dijalankan bermula pada awal bulan Februari dengan menghantar surat makluman kepada penyewa tanah, hebahan melalui khutbah jumaat di masjid-masjid berkaitan, serta pemasangan kain rentang operasi kutipan sewa di lokasi-lokasi yang terlibat. Antara lokasi yang terlibat dalam operasi ini adalah Kampung Bunga Mas Penambang, Kampung Siti Manis, Sungai Keladi, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kampung Kasa Pasir Mas, Kampung Pulau Pisang, Mukim Pulau Kundor dan Mukim Banggol.

Pembukaan Kaunter Bayaran Sewaan Tanah di tapak lokasi bukan sahaja untuk membuat pembayaran sewaan, malah ia dibuka untuk perkhidmatan semakan jumlah sewaan semasa, tunggakan sewaan, pengemaskinian profil, dan mendapatkan aduan daripada penyewa. Dalam operasi ini juga, lawatan dari rumah ke rumah turut diadakan bagi memantau keadaan semasa di tapak lokasi.

Pada masa yang sama, promosi waqaf tunai turut diadakan dan secara tidak langsung, promosi zakat turut dijalankan dengan penggunaan van zakat MAIK semasa operasi ini dijalanPihak MAIK sentiasa mengalu-alukan penyewa-penyewa berdaftar MAIK untuk hadir ke Kaunter Wakaf dan Baitulmal MAIK pada hari dan waktu bekerja untuk membuat pembayaran sewaan dan seterusnya menggalakkan masyarakat Negeri Kelantan untuk membuat sumbangan Waqaf Tunai MAIK.

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Pada 29 Rabiulakhir 1439H bersamaan 17 Januari 2018, Yang Maha Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan, merangkap Tengku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Berangkat Mencemar Duli Ke Majlis Perasmian Dan Menandatangani Perjanjian Wakaf MAIK Muamalat yang diadakan di Dewan Bunga Emas Hotel Perdana Kota Bharu Kelantan. Yang Berhomat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz , Tengku Temenggong Kelantan turut hadir mengiringi Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan ke majlis ini.

Majlis perasmian ini dimulakan dengan ceramah ringkas berkaitan Wakaf Tunai yang disampaikan oleh AlFadhil Ustaz Mohd Hafiz Bin Haji Fauzi, Ketua Jabatan Dakwah, Wakaf dan Zakat, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB). Seterusnya, bacaan Al-Quran disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Khairul Azwar Bin Alias, bilal Masjid Negeri, Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Majlis menandatangani perjanjian Wakaf MAIK Muamalat ini adalah antara pihak Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang diwakili oleh Yang Amat Berusaha Dr. Haji Nik Mohd Azlan Bin Abd Hadi, Timbalan Yang DiPertua MAIK dan pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) yang diwakili oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif BMMB. Majlis ini disaksikan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan yang diiringi oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan dan Yang Berbahagia Tuan Haji PeerMohamed Ibramsha, Ketua Pegawai Operasi BMMB.

Dalam majlis ini, dana sebanyak RM625,300.00 telah berjaya dikumpul untuk disalurkan ke dana Wakaf MAIK Muamalat. Antara penyumbang terbesar adalah daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad sebanyak RM500,000.00, Bekas Ahli Perkisputra sebanyak RM52,000.00, Syarikat Goldland Capital Sdn Bhd sebanyak RM10,000.00 dan Yang Berbahagia Dato’ Mohd Rushdan Mohd Yusoff sebanyak RM10,000.00. Antara lain yang turut menyumbang adalah Air Kelantan Sdn Bhd, Permodalan Kelantan Berhad, Suwaibal Haji Said, MSO Corporation Sdn Bhd, Pingat Harmoni Sdn Bhd, Hasmadi Textile, Kakitangan BMMB kawasan Timur dan Utara, Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Al-Quds Umrah Tours (M) Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) , Yang Mulia Tengku Azman Tuan Jaafar, Sari Securiforce Sdn Bhd, AZ Inivatif Sdn Bhd, Encik Muhammad Zaini Saumi, Pebadanan Bandar Baru Tunjung dan Wakaf Enterprise.

Pembangunan Projek pertama yang akan menggunakan dana Wakaf MAIK Muamalat adalah Pembangunan Projek Muallaf Centre yang terletak di Mukim Kok Keli Tumpat, sebagai pusat transit dakwah kepada saudara baru dengan kos pembinaan sebanyak RM369,632.40.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Bank Muamalat Malaysia Berhad, serta rakan strategik yang berada di bawah Association Of Islamic Banking Institutions Malaysia (AIBIM) yang terdiri daripada Bank Islam Malaysia Berhad, Maybank Islamic Berhad, Affin Islamic Bank Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad mengharapkan kerjasama Wakaf MAIK Muamalat ini akan dapat membudayakan amalan berwakaf, menjadi sumber kewangan untuk pembangunan aset wakaf sedia ada, mewujudkan aset-aset wakaf baru dalam pembangunan sektor pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan ekonomi khususnya bagi rakyat Kelantan.

Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman

 

Halaman 8 dari 12

Hubungi Kami

  • Kompleks Islam Darul Naim Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu, Kelantan
  • +609 7481512
  • waqaftunai[at]e-maik[dot]my
  • Peta Lokasi Kami

Bilangan Pengunjung

Hari Ini
Semalam
Minggu Ini
Minggu Lepas
Bulan Ini
Bulan Lepas
Keseluruhan
236
158
654
5074925
1999
1927
5075952