MAJLIS PENYERAHAN HASIL WAKAF MASJID ALFALAH WAKAF SIKU KOTA BHARU
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merupakan pengawal tunggal harta wakaf di Negeri Kelantan. Pihak MAIK bertanggungjawab menjaga amanah harta wakaf dan merealisasikan niat pewakaf dan seterusnya mengagihkan semula kepada penerima manfaat berlandaskan hukum syarak dan prosedur yang ditetapkan.
Pada 14 Februari 2016, satu Majlis Penyerahan Hasil Wakaf kepada Masjid Al-Falah Wakaf Siku Kota Bharu telah diadakan di Dewan Tazkirah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Majlis ini disempurnakan oleh Yang Amat Berusaha Doktor Haji Nik Mohd Azlan Bin Abd Hadi, Timbalan Yang DiPertua MAIK, diiringi Encik Nik Fazul Fazlee, Ketua Pegawai Pembangunan MAIK untuk menyerahkan cek berjumlah RM17,321.17 kepada wakil Masjid Al-Falah iaitu Dr Fathi Bin Haji Abdullah, Pengerusi Masjid Al-Falah.
Pihak MAIK mengharapkan hasil wakaf ini akan dimanfaatkan oleh pihak Masjid Al-Falah dengan dedikasi dan memperkembangkan lagi manfaatnya ke arah yang lebih baik sekaligus menegakkan syiar Islam serta mengembangkan dakwah Islam dengan lebih berkesan.
Artikel disediakan oleh: Siti Nuridayu Bt Mohd Othman