Operasi Kutipan Sewa Tanah Wakaf dan Baitulmal bagi tahun 2017
Pada setiap tahun, Unit Wakaf dan Baitulmal telah mengadakan operasi kutipan sewaan tanah di tapak lokasi bermula pada 6 sehingga 28 Mac 2017 bagi 557 orang penyewa yang meliputi jajahan Kota Bharu dan Pasir Mas.
Persediaan awal bagi operasi ini telah dijalankan bermula pada bulan Febuari dengan menghantar surat makluman, hebahan melalui khutbah jumaat di masjid-masjid kawasan operasi, serta pemasangan kain rentang operasi kutipan sewa di lokasi-lokasi yang terlibat. Antara lokasi yang terlibat dalam operasi ini adalah Kampung Bunga Mas Penambang, Kampung Siti Manis, Sungai Keladi,Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Kampung Kasa Pasir Mas.
Pembukaan Kaunter Bayaran Sewaan Tanah di tapak lokasi bukan sahaja untuk membuat pembayaran, malah ia dibuka untuk perkhidmatan semakan jumlah sewaan semasa, tunggakan sewaan, pengemaskinian profil, dan mendapatkan aduan daripada penyewa. Pendekatan kedua dalam operasi ini adalah kutipan sewaan tanah dari rumah ke rumah oleh petugas-petugas “Task Force”.
Pada masa yang sama, promosi waqaf tunai turut diadakan dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk dan masyarakat setempat. Secara tidak langsung, promosi zakat turut dijalankan dengan penggunaan van zakat MAIK semasa operasi ini dijalankan.
Pihak MAIK sentiasa mengalu-alukan penyewa-penyewa berdaftar MAIK untuk hadir ke Kaunter Wakaf dan Baitulmal MAIK pada hari dan waktu bekerja untuk membuat pembayaran sewaan dan seterusnya menggalakkan masyarakat Negeri Kelantan untuk membuat sumbangan Waqaf Tunai MAIK.
Disediakan Oleh : Siti Nuridayu Binti Mohd Othman