Call : +609-7481512 | 1-800-88-6060
Email : waqaftunai [at] e-maik [dot] my
Website : waqaftunai.e-maik.my
WhatsApp : 013-7508363
twitter
 
instagram
 
youtube
 
flicker
 
soundcloud
 
wikipedia
WAKAF MAIK MUAMALAT DIJENAMA SEMULA,TRANSFORMASI DIGITAL SASAR PENINGKATAN KUTIPAN 20 PERATUS
09 Sep 2024

WAKAF MAIK MUAMALAT DIJENAMA SEMULA,TRANSFORMASI DIGITAL SASAR PENINGKATAN KUTIPAN 20 PERATUS

Setelah enam tahun menjadi platform saluran dana wakaf di negeri Kelantan, Wakaf MAIK Muamalat dijenamakan semula dengan pelancaran logo baharu dan kod QR bagi membolehkan masyarakat berwakaf secara dalam talian dengan mudah, pantas dan telus.

Melalui transformasi digital tersebut, Wakaf MAIK Muamalat yang merupakan hasil kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyasarkan peningkatan kutipan sebanyak 20 peratus.

Turut hadir dalam bengkel ini adalah Al-Fadhil Ustaz Wan Rumaizi bin Wan Hussin, Ahli Jawatankuasa Wakaf MAIK, Puan Shakirah Binti Mohamad, Pegawai Wakaf MAIK, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Hafiz Hafifi Bin Mohd Arif, Pegawai Penyelidik MAIK dan kakitangan Unit Wakaf MAIK.

Semoga melalui penyelidikan ini akan mengembangkan lagi produk wakaf pada masa akan datang.

#MAIK2024

#BulanWakafMAIK2024

 

 

BUKU TOKOH WAKAF KELANTAN DILANCARKAN
09 Sep 2024

BUKU TOKOH WAKAF KELANTAN DILANCARKAN

Pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat sangat hidup dengan amalan berwakaf seperti berdasarkan sirah yang tercatat, serta fadilat ibadah wakaf, masyarakat Kelantan juga turut bersama-sama mewakafkan harta mereka.

Bahkan antara wakaf terawal di Kelantan yang dapat dikesan ialah wakaf dari pembesar negeri seperti Almarhum Al-Sultan Mansyur ibni Almarhum Al-Sultan Ahmad atau dikenali sebagai Sultan Mansor pada tahun 1899 iaitu 126 tahun yang lalu.

Almarhum Tengku Chik bin Almarhum Tuan Long Yunus atau lebih dikenali sebagai Tengku Kaya Pahlawan (TKP) yang telah mewakafkan tanahnya melalui surat cara wakafnya pada tahun 1921.

Sehubungan dengan itu, bersempena Pelancaran Bulan Wakaf pada 6 Ogos 2024, pihak MAIK juga melancarkan Buku Tokoh Wakaf Kelantan yang merangkumi sejarah wakaf Sultan Mansor ibni Almarhum Sultan Ahmad, Sultan yang warak dan berjiwa besar serta Tengku Kaya Pahlawan Kerabat D’raja Kelantan yang banyak berbuat khairat.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan, juga Yang Dipertua MAIK, di Hotel Perdana.

Buku setebal 183 muka surat, berukuran 6x9 ini yang mengandungi enam bab adalah hasil kerja keras Yang Berbahagia Dato’ Haji A. Aziz Deraman bersama Yang Berusaha Encik Baharin Ilias, Pegawai Adat MAIK.

Yang Berhormat Mulia Tengku juga yakin buku terbitan MAIK tersebut akan menjadi rujukan dan inspirasi kepada semua untuk turut sama berwakaf.

Nak tahu cerita sebenar, jangan lupa untuk dapatkan buku ini menerusi Unit Penerbitan MAIK dengan menghubungi talian 013-9964363.

#MAIK2024

#BulanWakafMAIK2024

 

 

SEMAKIN HARI SEMAKIN CINTAKAN WAKAF
09 Sep 2024

SEMAKIN HARI SEMAKIN CINTAKAN WAKAF

Alhamdulillah, keberkesanan penganjuran Bulan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang pertama kali dibuat pada tahun 2022 membawa berita gembira yang mana saban tahun sumbangan wakaf menerusi MAIK menunjukkan perkembangan positif. Atau dengan kata lain, menunjukkan minat dan kecintaan untuk berwakaf semakin meningkat.

Suka juga kami kongsikan ada di antara saudara-saudari di luar sana yang cintakan kepada wakaf, ada di antara penyumbang kami secara konsisten, istiqomah membuat sumbangan wakaf tunai pada setiap hari dengan kekerapan melebihi 1,000 transaksi.

Alhamdulillah. Pelbagai bentuk pewakafan boleh kita laksanakan. Bukan sahaja wakaf tunai bahkan wakaf juga kita boleh lakukan bentuk hartanah. Sedar akan betapa besarnya ganjaran berwakaf, kami melihat, saban tahun pihak MAIK menerima pewakafan tanah. Sehingga tahun 2023, sebanyak 1,547 lot tanah telah diwakafkan dan didaftarkan di bawah kawalan MAIK.

Selari dengan Peruntukan Seksyen 61 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994.

Alhamdulillah, sebahagian besar tanah-tanah yang diwakafkan telah dimanfaatkan untuk pembinaan masjid, perkuburan Islam, tahfiz, bangunan perniagaan, sekolah, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra untuk menempatkan pelajar tahfiz dan anak yatim, Pusat Latihan Mualaf di Tumpat, Pusat Latihan Jahitan dan Masakan Mualaf serta Pusat Perkhidmatan Intervensi Kanak-Kanak Autisme.

Terdapat juga tanah wakaf yang dimanfaatkan untuk pertanian yang menjadi sumber sekuriti makanan negara dan 500 keluarga menetap di atas tanah wakaf.

Selain itu, pihak MAIK juga sedang membangunkan dua tapak perkuburan terancang di atas tanah wakaf yang mana melibatkan 2.67 ekar di Tanjong Chat, Jajahan Kota Bharu dan di Rantau Panjang pula seluas 5.75 ekar.

Berita yang membanggakan pihak MAIK itu dikongsikan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan, juga Yang Dipertua MAIK sempena pelancaran Bulan Wakaf Dan Apresiasi Kepada Pewakaf MAIK Pada Tahun 2024 semalam di Hotel Perdana.

#MAIK2024

#BulanWakafMAIK2024

 

flickr

www.flickr.com
JUTAAN RINGGIT DUIT WAKAF UNTUK SIAPA?
09 Sep 2024

JUTAAN RINGGIT DUIT WAKAF UNTUK SIAPA?

Mesti anda tertanya-tanya ke mana ‘perginya’ jutaan duit wakaf yang diterima kami belanjakan. Apa yang MAIK buat?

Dalam tempoh 8 tahun ini kami menerima lebih RM 10 juta untuk wakaf tunai. Jumlah ini kami terima sejak Waqaf Tunai MAIK diperkenalkan pada 2015 lagi.

Siapa yang terima manfaat? Banyak ker MAIK belanja? Jom kami ceritakan.

Sebenarnya, daripada jumlah tersebut lebih RM 9 juta telah diagihkan dan dimanfaat dalam pelbagai perkara. Ia melibatkan segmen kesihatan, kebajikan, pendidikan dan pembangunan projek. Perkara itu diumumkan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan, juga Yang Dipertua MAIK, sempena Pelancaran Bulan Wakaf Dan Apresiasi Pewakaf MAIK Tahun 2024 berlangsung di Hotel Perdana.

Bagi sumbangan Waqaf Tunai MAIK dalam segmen kesihatan telah memberi manfaat yang sewajarnya kepada masyarakat, dengan sumbangan pelbagai mesin perubatan seperti mesin oksigen dan katil wakaf, mesin ultrasound untuk membantu ibu-ibu mengandung mendapatkan rawatan, Mesin Distortion Product Otoacoutic Emission (DPOAE) untuk mengesan pendengaran awal bayi yang ditempatkan di Klinik Kesihatan Sungai Pinang, Tumpat. Bukan itu sahaja, kami juga menyumbangkan Mesin Radiograf Orthopantomogram untuk tujuan x-ray pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan melibatkan rahang gigi di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan peralatan pembedahan katarak mata di Hospital Machang.

Selain pembelian peralatan perubatan, MAIK juga cakna dengan keperluan dalam segmen pendidikan yang mana dengan sumbangan Waqaf Tunai MAIK, ia telah memanfaatkan untuk projek menaik taraf bangunan tahfiz. Ini adalah untuk memastikan pelajar dapat memulakan pembelajaran dengan lebih selesa di Tahfiz Sulaimaniyyah Tumpat dan tahfiz baharu dibina iaitu Maahad Tahfiz Al -Quran MAIK untuk pelajar perempuan di Kampung Chabang Tiga Pendek, Kota Bharu. Mengambil sirah Saidina Uthman bin Affan, MAIK turut menggunakan wang Waqaf Tunai yang disumbangkan untuk membina tandak air di jajahan Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

Sumbangan waqaf tunai juga digunakan untuk membina 18 telaga tiub di daerah terjejas sumber air di Kota Bharu dan sekolah-sekolah. Selain itu, kemudahan seperti jeti penumpang di Kuala Krai turut dibina hasil daripada sumbangan wakaf tunai daripada masyarakat.

Subhanallah. Pendekatan mengglobalkan agihan sumbangan Waqaf Tunai MAIK turut diambil melalui program pengedaran satu juta naskhah Al-Quran Malaysia ke seluruh dunia dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji bersama Yayasan Waqaf Malaysia. Allahuakbar.

Para pewakaf budiman sekalian lihatlah betapa ganjaran pahala yang mengalir menerusi amalan berwakaf ini kalian terima. Jadi bagi mereka yang belum berwakaf, jom sama-sama menjadi rakan wakaf MAIK. ALLAH SWT janjikan pahala berpanjangan milik anda.

#MAIK2024

#BulanWakafMAIK2024

 

flickr

www.flickr.com

 

 

 

 

flickr

www.flickr.com

Hubungi Kami

  • Kompleks Islam Darul Naim Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu, Kelantan
  • +609 7481512
  • waqaftunai[at]e-maik[dot]my
  • Peta Lokasi Kami

Bilangan Pengunjung

Hari Ini
Semalam
Minggu Ini
Minggu Lepas
Bulan Ini
Bulan Lepas
Keseluruhan
1016
462
1926
4832221
5433
15852
4837654